Bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon secara rasminya bakal pulang ke Malaysia.
Jurulatiu berusia 57 tahun itu bagaimanapun bakal membuka lembaran baharu bersama kelab selepas diumumkan selaku pengendali baharu Selangor FC.
Bekas pengendali Ulsan HD di K-League ini bakal menjadi taruhan Gergasi Merah Kuning dalam misi pasukan mara ke pentas Asia musim hadapan.
“Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) ingin mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad utama Gergasi Merah.
“Bekas Ketua Jurulatih Interim Christophe Gamel telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Selangor FC yang baharu berkuatkuasa hari ini,” jelas kenyataan kelab.
Selangor juga berharap bahawa percaturan untuk membawa masuk Pan-gon bakal mengembalikan semula era kegemilangan pasukan.
“Berbekalkan pengalaman yang luas serta pencapaian yang cemerlang, kelab percaya Kim Pan-gon akan memikul tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih skuad utama Gergasi Merah dengan jayanya serta mengemudi pasukan Selangor ke tahap yang lebih tinggì,” tambah kenyataan tersebut.
Sebagai rekod, Pan-gon pernah membantu Ulsan HD menjuarai K-League musim lalu selain membawa pasukan Korea Selatan itu ke Piala Dunia Kelab FIFA.