Sasaran Manchester United, Rasmus Hojlund dilihat mampu mengatasi pelbagai rekod yang dicipta penyerang berbisa Manchester City, Erling Haaland disebabkan beberapa faktor.
Dengan usianya baru mencecah 20 tahun, beliau sudah mencipta hatrik bersama pasukan kebangsaan Denmark. Sementara Haaland pula mencipta sensasi dengan menyumbat dua gol untuk kelab lamanya, Borussia Dortmund pada usia sama.
Akhbar Daily Mail melaporkan walaupun Hojlund hanya menjaringkan sembilan gol dalam 32 perlawanan Serie A bersama Atalanta musim lepas, penyerang muda itu mempunyai kekuatan dan kepantasan yang sesuai untuk EPL.
Menariknya, seperti Haaland, beliau juga suka mencari ruang untuk membuat tolakan mudah dalam gawang bila menerima hantaran daripada pemain-pemain sayap.
Dengan pemain-pemain sayap seperti Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho, tidak mustahil pulangan gol Hojlund akan bertambah jika beliau memilih Red Devils.
Kehadiran Hojlund juga akan menyelesaikan isu penyerang tengah yang dihadapi United sejak beberapa musim lepas. Ini kerana kelab tidak mempunyai penyerang tengah tulen dengan Rashford, Antony dan Anthony Martial lebih suka beroperasi sebagai pemain sayap.
Dengan Hojlund lebih suka kekal sebagai penyerang tengah, peluang untuk beliau menjaringkan gol lebih tinggi di situ. Selain itu, bekas penyerang Sturm Graz itu licik menghubungkan permainan rakan sepasukan sekaligus menambah ancaman serangan Atalanta.
Ketika ini, kedua-dua kelab sedang merundingkan yuran perpindahan Hojlund. Biarpun nama penyerang Denmark ini turut diintai PSG, Hojlund hanya ingin berpindah ke Old Trafford.
Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano menjangkakan satu kesepakatan bakal dicapai antara Atalanta dan United bagi membolehkan perpindahan itu berlaku.