Razman Roslan Puji Impak Tengku Hazman Di Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan memuji impak jurulatih interim Terengganu, Tengku Hazman Raja Hassan.

Ini kerana pada hematnya, Tengku Hazman bukan saja berjaya menstabilkan semula kempen pasukan itu dalam Liga Malaysia (Liga M).

Malah, beliau turut membantu Terengganu kekal tanpa kalah sejak menggalas tugas itu pada Januari lalu. Terengganu hanya dibolosi dua kali dan menang empat daripada enam perlawanan terakhir mereka.

“Kalau kita lihat daripada statistik ini, memang sesuatu yang sangat positif. Daripada tujuh pelawanan, menang empat dan hanya bolos dua jaringan,” katanya semasa menjadi panel program Astro Arena, XI Sebelas Utama.

“Bagi saya, itu sesuatu yang sangat positif. Dan apa yang boleh kita katakan dan kita simpulkan setakat ini adalah pemain-pemain sudah memahami dan serasi dengan corak taktikal dan corak permainan yang dimahukan oleh Tengku Hazman.”

Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak turut senada dengan Razman. Beliau melihat perkembangan ini dapat membantu Terengganu untuk mengakhiri kempen musim 2025/26 dengan baik.

“Dengan stasitik yang kita tengok ini, beliau setakat ini menjalankan tugas dengan begitu baik sekali.

“Dan saya rasa dengan stasitik yang ada ini, kita nampak Tengganu juga kembali bernafas. Sebelum itu, kita nampak kekalahan demi kekalahan yang mereka terima.

“Tetapi selepas beliau memegang pasukan, saya rasa ini sesuatu yang menarik dan saya rasa banyak lagi yang boleh beliau taburkan bersama dengan pasukan Terengganu,” ujarnya.

Tengku Hazman dijangka terus kekal sebagai jurulatih interim Terengganu sehingga akhir musim ini. Ini selepas usaha Peteh mendapatkan Nafuzi Zain tidak berhasil.