Bekas penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri teruja dengan gol saat akhir Manuel Hidalgo.
Pemain sayap berusia 26 tahun itu muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan dalam aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC di Paroi pada 9 Januari lalu.
Gol tersebut memastikan rekod kemenangan 100% yang dimiliki Harimau Selatan dalam liga terus bertahan setakat ini.
Sebaik melihat gol tersebut, Forestieri cukup gembira melihat impak yang dipamerkan Hidalgo.
“Betapa indahnya bola sepak, lagi comel si kerdil gila,” katanya di ruang komen Instagram Johor Southern Tigers.
Pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor membalas komen beliau dengan menyatakan Hidalgo mengikut jejak langkah Forestieri.
“Seorang lagi pemain Argentina (melakukannya) pada minit akhir. Ayuh,” katanya.
Baginda merujuk kepada gol Forestieri untuk JDT ketika menentang Sang Rusa pada 2022. Menariknya, gol bekas pemain Sheffield Wednesday itu juga berlaku pada minit akhir perlawanan.
Forestieri kini beraksi untuk AEL Limassol selepas meninggalkan JDT pada musim lalu. Beliau merekodkan 50 gol dan 25 bantuan gol dalam 72 penampilan bersama Harimau Selatan.