Kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini menjadi suatu dejavu buat peminat Negeri Sembilan mengingatkan kembali peristiwa yang berlaku pada 11 Mei 2022 lalu.
Hari ini, JDT berjaya menumbangkan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bagi merekodkan satu lagi kemenangan dan terus kebal menerajui carta Liga Super.
Kemenangan 1-0 di laman lawan ini bagaimanapun tak hadir dengan mudah selepas JDT dipaksa bekerja keras sebelum akhirnya Manuel Hidalgo mencetak gol di masa kecederaan.
Hantaran Oscar Arribas ditanduk cantik oleh Manuel Hidalgo pada minit ke-98 untuk menewaskan Azri Ghani di pintu gol Negeri Sembilan sekaligus memberikan 3 mata yang begitu berharga.
Ironinya, kemenangan 1-0 pada Jumaat mengimbau kembali detik pertembungan Negeri Sembilan vs JDT pada musim 2022, apabila senarionya dilihat cukup sinonim dengan aksi hari ini.
Ketika itu, JDT juga dipaksa berhempas-pulas bagi mencari gol tatkala Negeri Sembilan beraksi dengan begitu ampuh di depan peminat sendiri sebelum Fernando Forestieri muncul wira pelawat.
Rembatan jarak jauh oleh Fernando Forestieri pada waktu itu berjaya untuk menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi yang ketika ini sedang menyarung jersi skuad Harimau Selatan.
Persamaan dalam dua aksi ini menyaksikan Manuel Hidalgo dan Fernando Forestieri kedua-duanya pernah beraksi buat Sheffield Wednesday, sebelum mengambil keputusan untuk berkelana ke Malaysia.
Kedua-dua aksi ini pastinya tidak mahu diingati oleh peminat setia Negeri Sembilan oleh kerana JDT telah memberi suatu harapan palsu tatkala skuad Jang hampir berjaya meraih satu mata.