Hasrat Manchester United untuk menandatangani pertahanan berkelas dunia, Raphael Varane termakbul apabila telah mencapai persetujuan bersama bintang tersebut untuk membawanya ke Old Trafford pada musim hadapan.
Perpindahan bintang Real Madrid itu menjadi perhatian seluruh dunia tatkala mengenangkan aksi kebal yang ditampilkan bersama rakan sepasukannya di sana, Sergio Ramos. Gandingan serasi ini telah mencipta nama di pentas tertinggi kejohanan Eropah sehingga berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebanyak 4 kali.
Namun begitu, perpindahan ini nyata memberi keuntungan yang lumayan buat Real Madrid selaku pemilik Varane apabila nilai yang perlu dibayar untuk mendapatkan khidmat pertahanan tengah Perancis itu antara yang tertinggi dalam sejarah perpindahan keluar pemain dari Real Madrid yang dianggarkan sekitar 50€.
Perpindahan Varane ini menjadi fokus utama di Eropah tatkala usaha membawa masuk pemain ini ke kelab dengan jolokan Theatre Of Dreams itu telah dilakukan sejak zaman pengurus lagenda kelab iaitu Sir Alex Ferguson pada tahun 2011.
SAF melihat potensi yang terdapat dalam diri Varane sejak beliau berusia 18 tahun lagi ketika beliau beraksi buat pasukan Ligue 1 iaitu Lens. Ketika itu, Varane berpotensi untuk dibawa masuk hanya dengan yuran perpindahan sekitar 3€ namun jurulatih tersebut membuat keputusan untuk membawa masuk Phil Jones yang juga merupakan pertahanan tengah berpotensi ketika itu.
Subjek perpindahan Varane amat membangkitkan keterujaan para penyokong Manchester United yang sudah lama mengidamkan barisan pertahanannya dipimpin oleh pertahanan berkelas dunia sungguhpun telah melakukan pembelian rekod pertahanan termahal, Harry Maguire dari Leicester City namun dilihat tidak memberikan impak seperti yang diharapkan.
Semoga kedatangan Varane dapat menstabilkan struktur pertahanan di United sekaligus membantu pasukan untuk mencabar kejuaraan liga yang digondol oleh jiran mereka, Manchester City.