Rekod 5 Pertemuan JDT vs Kuching City Curi Tumpuan
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki kelebihan ke atas Kuching City FC menjelang aksi Piala Sumbangsih yang akan berlangsung pada Jumaat.

Lima aksi lalu menyaksikan JDT memenangi kesemua perlawanan dengan The Cats. Ini termasuk aksi final Piala Malaysia musim 2025/26 yang berlangsung pada Mei lalu.

Meskipun begitu, Kuching City masih memiliki peluang untuk mengejutkan Harimau Selatan. Semakan lima aksi lalu menyaksikan kesemua perlawanan yang dimenangi JDT ialah kemenangan tipis.

Malah, The Cats juga pernah meraih kelebihan awal dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Januari lalu menerusi Scott Woods. Walaupun beraksi dengan 10 pemain, JDT memenangi aksi itu dengan keputusan 2-1.

Hal ini menunjukkan anak buah Aidil Sharin Sahak mampu mencipta kejutan ke atas tuan rumah selaras dengan peningkatan prestasi pasukan itu sejak beberapa musim lalu.

Selain trofi pertama musim 2026/27, JDT juga memburu rekod baharu dunia untuk siri perlawanan tanpa kalah terpanjang iaitu 109 perlawanan. Rekod itu mampu dicapai jika JDT meraih keputusan positif ke atas The Cats.

Harimau Selatan ketika ini berkongsi rekod siri perlawanan tanpa kalah terpanjang di dunia iaitu 108 perlawanan dengan kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas.