10 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengekalkan rekod kemenangan 100% dalam Liga Super apabila menewaskan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
The Cats memerlukan kemenangan agar dapat mengekalkan kedudukan tempat kedua. Harimau Selatan mahu mengekalkan rekod kemenangan 100% dalam liga di laman sendiri.
Stuart Wilkin dan Syamer Kutty Abba disenaraikan sebagai pemain simpanan selepas kembali menyertai JDT. Bekas pemain pertahanan Penang FC, Arif Farhan Md. Isa berada di bangku simpanan pelawat.
Separuh masa pertama menyaksikan JDT mencari gol awal menerusi dua penjaring terbanyak mereka, Bergson da Silva dan Jairo da Silva.
Bergson menyangka telah meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-10. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.
Ini kerana Razlan mengesan kekasaran yang dilakukan Jairo ke atas James Okwuosa sebelum menghantar bola kepada Bergson. Keputusan beliau turut disokong oleh VAR.
Tatkala JDT ghairah mengasak, mereka ketinggalan pada minit ke-43 menerusi gol Scott Woods. Pemain pertahanan Filipina itu menyudahkan hantaran Ramadhan Saifullah Usman.
Pada awalnya, gol Woods tidak disahkan kerana ofsaid. Walau bagaimanapun, gol tersebut disahkan selepas diperiksa oleh VAR.
JDT cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah segera membuat pertukaran dengan memasukkan Manuel Hidalgo dan Yago Cesar da Silva.
JDT dipaksa bermain dengan 10 pemain apabila kapten, Natxo Insa dibuang padang pada minit ke-56. Ini selepas VAR mengesan beliau menanduk muka Woods.
Kebangkitan tuan rumah bermula menerusi gol penyamaan yang dijaringkan Nacho Mendez dua minit selepas itu.
Bergson menyumbat gol ke-14 dalam liga menerusi gol cantik pada minit ke-64. Bagi melindungi kelebihan gol mereka, Xisco Munoz memasukkan Wilkin pada minit ke-70.
Kemasukan pemain tengah Harimau Malaya itu memastikan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan JDT terus menerajui liga dengan 45 mata.
Kuching City pula jatuh ke tangga keempat dengan 28 mata. Ini membuka ruang buat pencabar terdekat, Selangor FC untuk merampas tempat kedua liga.
Selepas ini, JDT akan menentang PDRM untuk aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia pada 18 Januari. Kuching pula akan menentang Penang pada hari yang sama.