Pemain tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba sah kembali ke pangkuan pasukan induknya, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini selepas KL City mengumumkan pemergian anak jati Pulau Pinang itu di semua platform rasmi mereka.
“Selamat maju jaya kepada anda, Syamer. Jumpa lagi!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Syamer menyertai KL City secara pinjaman dari JDT selama semusim pada Julai 2025. Beliau merekodkan 13 penampilan dan satu gol buat The City Boys musim ini.
Penampilan terakhir Syamer bersama pasukan Lembah Klang itu ialah aksi liga menentang Sabah FC pada 9 Januari lalu.
Pengumuman ini menyaksikan KL City kehilangan dua tonggak. Sebelum ini, Haqimi Azim Rosli telah meninggalkan pasukan itu sebelum menyertai Terengganu FC secara pinjaman.
Ini bermakna Amirul Aiman Ibrahim, Gorka Larrucea, Madger Gomes, Ryan Lambert dan Zhafri Yahya sebagai pilihan buat Risto Vidakovic di bahagian tengah.
Syamer bukan satu-satunya pemain tempatan yang kembali ke pangkuan JDT. Pemain tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin juga kembali bersama Harimau Selatan selepas empat musim menabur bukti di Sabah.