Rekod Pertemuan JDT vs Buriram United Mengejutkan
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Johor Darul Ta’zim (JDT) berazam untuk menamatkan rekod tanpa kemenangan mereka ke atas Buriram United pada aksi Rabu ini.

Namun, kini Harimau Selatan tampil dengan wajah dan kehebatan baharu selepas kembali dari Jeddah, Arab Saudi, usai mengharungi aksi suku akhir ACLE musim ini, apabila hanya tewas tipis 2-1 kepada gergasi Asia, Al-Ahli.

Sebelum ini, Harimau Selatan telah bertemu kelab gergasi Thailand itu sebanyak empat kali, namun masih belum berjaya mencatat sebarang kemenangan.

Pertemuan pertama kedua-dua pasukan berlaku pada peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) musim 2024/25, yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Ibrahim.

Selepas itu, kedua-dua pasukan sekali lagi dipertemukan di pusingan 16 ACLE musim yang sama. Dalam perlawanan tersebut, JDT sekadar mencatat keputusan seri di tempat lawan sebelum tewas 0-1 di laman sendiri, sekali gus membuka laluan kepada pasukan yang digelar Thunder Castle itu untuk mara ke peringkat suku akhir.

Pertemuan terakhir antara dua gergasi Asia Tenggara ini berlangsung pada 16 September 2025 dalam aksi pembukaan ACLE musim 2025/26, yang menyaksikan JDT tewas 1-2 kepada Buriram United.

Berdasarkan rekod pertemuan lalu, perlawanan kali ini dilihat cenderung memihak kepada pasukan pelawat. Namun begitu, kelebihan beraksi di laman sendiri serta sokongan padu penyokong di Stadium Sultan Ibrahim dijangka menjadi faktor penting yang mampu memberi tekanan kepada pasukan lawan.

Perlawanan antara JDT dan Buriram United dijadual berlangsung pada Rabu, 6 Mei 2026, di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula pada jam 8.00 malam waktu Malaysia.