Reo Hatate Bantu Celtic Benam Rangers
Eropah
Russell Cheyne/Reuters
Advertisements

Perlawanan setempat Old Firm dianggap perlawanan setempat paling berprofil tinggi di Britain. Di sinilah, pemain dari kedua-dua kelab berusaha untuk muncul sebagai wira pasukan dan menjadi sebahagian daripada legenda kelab. Malam tadi, Reo Hatate menjadi watak utama kemenangan Celtic pertama ke atas Rangers sejak tahun 2019.

Kemenangan ini dianggap manis kerana ia membantu penyokong melupakan memori ditinggalkan Rangers 25 mata untuk kempen kejuaraan liga pada musim lepas. Sejak itu, momentum kembali kepada Hoops yang dibimbing Ange Postecoglou dalam Liga Perdana Scotland (SP) walaupun kelab terus kecewa di pentas Eropah.

Bagi Light Blues pula, masih banyak perkara yang perlu dimantapkan pengganti Steven Gerrard, Giovanni van Bronckhorst. Sejak permulaan musim ini, kelab seperti kehilangan aura kekebalan yang menjadikan mereka pasukan digeruni di peringkat domestik dan Eropah. Dan ini sesuatu yang harus ditangani segera oleh bekas pengurus Feyenoord itu jika mahu mengekalkan kejuaraan liga.

Advertisements

Perlawanan yang berlangsung di Celtic Park menyaksikan barisan tengah Celtic mendominasi permainan. Dan tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka jaringan pada minit kelima oleh Hatate. Bagaimanapun, ia dianggap kontroversi kerana jaringan pemain Jepun itu berlaku selepas Calvin Bassey dan Joe Aribo berlaga semasa cuba mengeluarkan bola dari sepakan penjuru.

Akibatnya, Bassey terbaring di atas padang dan beberapa saat selepas itu, Hatate menceriakan penyokong Hoops. Ia mengingatkan kepada beberapa jaringan yang dibuat selepas pemain lawan cedera seperti gol Emile Smith Rowe semasa perlawanan Manchester United-Arsenal. Jaringan tersebut dianggap kontroversi selepas penjaga gol David de Gea terbaring akibat kecederaan.

Di sebalik kontroversi berkenaan, itu tidak menafikan fakta bahawa Celtic terus mendominasi perlawanan. Penjaga gol pelawat Allan McGregor dua kali menafikan cubaan Jota dan Giorgos Giakoumakis pada minit ke-15. Hanya sekali sahaja Rangers mengancam menerusi cubaan Scott Arfield tetapi ia berjaya dipintas oleh bekas penjaga gol Manchester City, Joe Hart.

Advertisements

Tiga minit sebelum rehat separuh masa, Hatate sekali lagi bikin Celtic Park gegak-gempita. Ini selepas sepakan dari luar kotaknya penalti gagal disekat McGregor. Dua minit selepas itu, hantaran Hatate berjaya disudahkan Liel Abada untuk gol ketiga tuan rumah.

Rangers yang terkejut segera membuat tiga pertukaran pada separuh masa kedua. Tetapi ia gagal mengubah momentum mereka dan keputusan kekal sehingga tamat wisel permainan. Bagi penyokong Celtic, melihat kelibat Hatate seperti melihat kelibat legenda Jepun mereka, Shunsuke Nakamura yang menjadi igauan ngeri Light Blues.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram