Respon positif telah ditunjukkan oleh Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terhadap kemajuan ranking JDT di Asia.
Skuad kendalian Hector Bidoglio kini memgekalkan rekod cemerlang 100 peratus kemenangan dalam semua kejohanan yang diharungi.
Hal ini termasuklah ketika berjaya menundukkan kelab Liga A1, Malaysian University pada aksi suku akhir pertama Piala FA 2024.
Skuad Harimau Selatan sekali lagi mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila mencatatkan kemajuan memberangsangkan dalam kedudukan ranking kelab di Asia.
Baginda memberikan respon positif terhadap kemajuan ranking JDT terutamanya setelah berjaya memintas beberapa kelab besar seperti Kawasaki Frontale (J League) di tangga ke-25 dan juga kelab Saudi Pro League, Al-Ittihad di tangga ke-26 Asia.
“Alhamdulillah, lebih banyak akan tiba,” ujar DYAM Tunku Mahkota Ismail pada ruangan komen hantaran yang diulang siar oleh laman Johor Southern Tigers.
MakanBola sebelum ini telah mencatatkan peningkatan mendadak ranking JDT di Asia berdasarkan kemas kini laman Opta Analyst apabila menghuni tangga ke-16 Asia.
JDT menjadi wakil tunggal Malaysia untuk beraksi di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) yang dijadualkan bermula pada September 2024 hingga Mei 2025.
Habuan mencecah RM3.8 Juta menanti pasukan gergasi Liga Malaysia itu apabila bersaing dalam kancah tertinggi di Asia pada peringkat kumpulan.
Antara lawan berpotensi JDT di Asia kali ini termasuklah Vissel Kobe (Jepun), Kawasaki Frontale (Jepun), Yokohama F. Marinos (Jepun), Ulsan HD (Korea), Pohang Steelers (Korea), Gwangju (Korea), Shanghai Port (China), Shanghai Shenhua (China), Buriram United (Thailand) dan Central Coast Mariners (Australia).
Dua pasukan bakal mengharungi pusingan kelayakan iaitu Shandon Taishan (China) dan juga Bangkok United (Thailand).