Dalam satu temu bual ekslusif di Youtube MFL, pengendali TRW Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya memaklumkan bahawa pasukan Kelantan ketika ini sedang memberi ruang buat pemain-pemain lokal menyerlahkan bakat dan potensi sebenar.
Pasukan Kelantan FC hanya menagih khidmat dua orang pemain import dalam saingan Piala Malaysia. Menurut Rezal, waktu ini merupakan peluang terbaik untuk pemain tempatan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
“Dengan ketiadaan beberapa pemain import yang lain, bagi saya ini peluang yang harus digunakan pemain lokal terutamanya untuk mengisi ruang-ruang kosong. Saya rasa semakin hari ia mendatangkan hasil.
Ketika ditanya mengenai tanggungjawabnya sebagai ketua jurulatih Kelantan FC, bekas pemain Negeri Sembilan ini menyatakan bahawa tugas ini merupakan satu pengalaman yang berharga dan beliau akan memberikan sepenuh komitmennya terhadap pasukan.
“Bagi saya ia satu pengalaman yang baru dan saya sahut cabaran ini dengan apa sahaja pengetahuan yang saya ada. Saya cuba aplikasikannya kepada pemain Kelantan dalam saingan Piala Malaysia ini. Sebagai jurulatih sudah pasti saya mahukan komitmen pemain setiap perlawanan untuk beri seratus peratus.”
Mengulas lanjut, pengendali yang berusia 43 tahun ini tampak berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya dalam saingan Piala Malaysia. Rezal Zambery terus optimis dan meletakkan sasaran untuk TRW Kelantan FC mara ke peringkat suku akhir.
“Dalam dua perlawanan terakhir, kita dapat lihat satu perkara positif disumbangkan oleh para pemain. Tempoh rehat ini kita akan gunakan sepenuhnya untuk baiki segala kelemahan-kelemahan. Saya rasa untuk saingan kumpulan D ini, kita akan terus beri saingan.”
“Tiada yang mustahil dalam bola sepak, saya menjangkakan kita boleh target untuk melepasi saingan suku akhir nanti.”
Kelantan FC kini berada di tangga keempat dalam saingan kumpulan D. Skuad The Red Warrior telah mencatat satu kekalahan dan satu seri setakat dua perlawanan dalam kempen Piala Malaysia 2021.