Pemain warisan Malaysia yang kini bersama Charlton Athletic, Richard Chin sah bakal dilepaskan kelab England itu pada penghujung musim ini.
Bagi penganalisis bola sepak England, Tomh Williams, keputusan Charlton untuk melepaskan Richard itu adalah satu kerugian memandangkan pemain itu adalah prospek yang baik buat kelab.
“Richard Chin pemain muda yang sangat bagus,” kongsi Tomh Williams ringkas di laman X.
Selain Richard, penganalisis tersebut juga menyenaraikan beberapa pemain lain yang dilihat agak baik namun tidak disambung kontrak oleh Charlton.
Richard kini beraksi bersama kelab divisyen ke-6 England, Bath City secara pinjaman dan perjanjian pinjaman tersebut bakal berakhir pada 31 Mei ini seperti yang tertera di laman Transfermarkt.
Sejak dipinjamkan ke Bath City pada Februari lalu, Richard sudah diturunkan dalam 11 perlawanan dan berjaya meledak 4 gol. Satu pencapaian yang baik buat pemain pertahanan seperti beliau.
Masa depan Richard masih lagi belum diketahui lagi buat masa ini walaupun ada ura-ura yang mengatakan bahawa beliau bakal ke Malaysia bagi meneruskan karier bola sepak.
Sebelum ini, Richard pernah dipanggil ke kem skuad kebangsaan bawah 23 tahun Malaysia. Namun namanya tidak tersenarai ke kejohanan Piala Asia B-23 Qatar yang baru melabuhkan tirainya semalam.