Pemain sayap Harimau Malaya, Richard Chin kembali mempamerkan sentuhan gol bersama kelabnya, Ross County.
Selepas kembali pulih daripada kecederaan, bekas pemain Raith Rovers itu dilihat tidak sabar membantu kelabnya terus bertakhta di persada Scottish League One.
Ini terbukti apabila The Staggies membelasah Queen of the South 8-0 di Dingwall. Chris Hamilton dan Brian Graham pantas meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit keenam dan kelapan.
Duo berkenaan memastikan Ross County mendahului 4-0 menerusi gol pada minit ke-46 dan penalti pada minit ke-56. Richard yang dinamakan sebagai pemain simpanan kemudiannya masuk sebagai pemain gantian dua minit selepas itu.
Kieran Phillips meledakkan dua gol buat tuan rumah pada minit ke-66 dan 79. Richard dan Jamie Lindsay masing-masing mencetak gol pada minit ke-80 dan 89.
Keputusan ini menyaksikan Ross County menerajui carta liga dengan 16 mata. Meskipun berkongsi mata sama dengan Hamilton, anak buah Stuart Kettlewell mendahului dari segi kelebihan jaringan.
Berita ini juga dijangka menggembirakan pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. Ini kerana Richard bukan saja kembali cergas tetapi sedia memberi impak apabila turun beraksi.
Justeru, graduan akademi Charlton Athletic itu memiliki peluang untuk menambah penampilan bersama Harimau Malaya jika dipanggil menyertai kem latihan pusat pada 21 September ini.