Pemain sayap Harimau Malaya, Richard Chin kembali meledakkan gol di Scotland bersama kelabnya, Raith Rovers.
Gol itu dijaringkan dalam aksi terbaru Scottish Championship antara The Rovers dan Ayr United yang berlangsung pada awal pagi Sabtu.
Selepas tewas kepada Partick Thistle, Raith Rovers yang dibimbing Dougie Imrie berharap dapat bangkit di gelanggang sendiri bila bertemu Ayr United.
Hasilnya, tuan rumah meledakkan dua gol pada separuh masa pertama menerusi penyerang tinggi lampai, Innes Cameron.
Imrie kemudiannya membawa masuk Richard sebagai pemain gantian pada minit ke-61. Bekas pemain Charlton Athletic itu membalas kepercayaan beliau enam minit selepas itu.
Richard menolak bola hantaran rakan sepasukan, Josh Mullin masuk ke dalam gawang Ayr United. Ini juga gol kedua beliau bersama The Rovers musim ini.
Kemenangan 3-0 ini menyaksikan Raith Rovers menduduki tangga kelima dengan 36 mata, empat mata di belakang Dunfermline Athletic yang menduduki tangga keempat liga.
Kemenangan ini juga dilihat tonik buat Richard dan The Rovers. Ini kerana pasukan itu akan berentap dengan Inverness Caledonian Thistle untuk merebut gelaran juara Scottish Challenge Cup pada awal pagi 6 April.
Sekiranya The Rovers bergelar juara, mereka bukan saja berpotensi menamatkan kemarau kejuaraan selama empat musim. Malah, ini juga bakal menjadi trofi pertama Richard bersama pasukan itu.