Pemain sayap Harimau Malaya, Richard Chin terus mendapat kepercayaan jurulatih Raith Rovers, Dougie Imrie.
Ini selepas The Rovers mengumumkan senarai pemain yang dikekalkan dan dilepaskan selepas tamat musim 2025/26.
Richard antara sembilan pemain yang dikekalkan Raith Rovers untuk kempen musim 2026/27. Selain beliau, kelab turut mengekalkan Dylan Easton, Paul McMullan, Kai Montagu dan Josh Rae.
Jai Rowe, Lewis Gibson, Paul Hanlon dan kapten, Scott Brown melengkapkan senarai pemain yang dikekalkan untuk musim depan.
Legenda The Rovers, Ross Matthews mengetuai senarai tujuh pemain yang dilepaskan kelab itu. Pemain tengah berusia 30 tahun itu menduduki tempat ke-12 dalam senarai penampilan terbanyak untuk Raith Rovers dengan 376 perlawanan.
The Rovers turut mengumumkan empat pemain dalam proses perbincangan bersama kelab untuk lanjutan kontrak. Empat pemain tersebut ialah Callum Fordyce, Lewis Vaughan, Lewis Stevenson dan Jordan Doherty.
Selepas menyertai Raith Rovers sebagai ejen bebas pada musim panas 2025, Richard telah merekodkan 29 penampilan, dua gol dan satu bantuan gol dalam semua kejohanan.
Musim 2025/26 cukup manis buat beliau. Ini kerana musim ini menyaksikan Richard membantu The Rovers bergelar juara Scottish Challenge Cup sekaligus trofi pertama dalam kariernya.