Rifdean Masdor Raih Kontrak ONE Championship
UltraSukan
Instagram/Rifdean Masdor

Rifdean Masdor menjadi jaguh Muay Thai Malaysia terbaru yang mendapat kontrak tetap ONE Championship.

Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan jaguh Iran, Javad Mozafari dalam saingan ONE The Inner Circle 19 yang berlangsung pada 19 Jun lalu.

Lebih menarik, Rifdean hanya mengambil masa 94 saat untuk menumbangkan jaguh Iran itu. Kejayaan mengalahkan Mozafari membuka ruang buat beliau mendapat kontrak ONE Championship berjumlah AS$100,000 (RM414,000).

Ini selepas Rifdean berjaya meraih lima kemenangan berturut-turut dalam saingan tersebut. Selain Mozafari, beliau juga berjaya menewaskan Petkiattisak O Sansuk, Mohamad Redho, Bernueng Sor Salacheep dan Nongbia LaoLaneXang.

Rifdean mengikut jejak rakan senegara, Johan Ghazali dan Aliff Rakib. Selepas kedua-duanya meraih kontrak tetap ONE Championship, Johan dan Aliff mula menyerlah potensi mereka sebagai jaguh di gelanggang.

Apa yang menarik, Johan bakal berentap dengan rakan yang juga bekas lawan Aliff, Ramadan Ondash dalam aksi ONE Championship seterusnya. Pertarungan itu bakal berlangsung pada 31 Julai ini.