Pemain pertahanan Kedah, Rodney Celvin telah memohon maaf kepada pemain Perak, Seo Seonung akibat kekasaran yang dilakukannya sehingga pemain tersebut mengalami kecederaan patah hidung.
Pertembungan antara Perak dan Kedah dalam saingan Piala Malaysia semalam dicemari dengan insiden ngeri apabila Rodney Celvin telah menyepak muka pemain Perak sewaktu berlakunya perebutan bola pada minit ke 61 permainan.
Rodney Celvin kemudian telah memuat naik permohonan maaf di laman Story Instagram miliknya dan menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk bertindak kasar ke atas Seo Seonung sehingga pemain tersebut mengalami patah hidung.

“Saya ingin memohon maaf kepada pemain Perak FC, penyokong-penyokong di atas insiden yang berlaku semasa perlawanan Piala Malaysia semalam. Sejujurnya saya tiada niat untuk mencederakan mana-mana pemain. Insiden tersebut berlaku secara spontan setelah dikasari. Semoga pemain berkenaan cepat sembuh.” ujar beliau.
Kecederaan tersebut menyaksikan pemain Perak, Seo Seonung tidak dapat meneruskan permainan dan digantikan dengan Azalinullah Alias pada minit ke 66 permainan.
Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan selesa 3-1 Perak ke atas pasukan Kedah Darul Aman.