Pertahanan tengah Kedah Darul Aman, Rodney Celvin diarah keluar padang selepas dilayangan kad merah oleh pengadil pada pertembungan antara pasukan Perak dan Kedah bagi aksi Piala Malaysia 2023.
Rodney yang diturunkan pengendali Kedah, Nafuzi Zain diberi kepercayaan untuk menggalas tugas menjaga kubu pertahanan pasukan. Bagaimanapun aksi Rodney hanya bertahan hingga pertengahan babak kedua permainan.
Pada minit ke-60 permainan, berlaku pergelutan bola di udara antara Rodney dan penyerang Perak, Seonung Seo. Tindakan mengerikan Rodney yang menyepak muka Seonung sekaligus mencemari aksi di Stadium Ipoh.
Pengadil perlawanan, Usaid Jamal tak teragak-agak melayangkan kad merah kepada pemain berusia 26 tahun itu. Rodney dihukum dan dibawa keluar padang.
Menurut laporan daripada wartawan Astro Arena, Fadhirul Suhaimi memaklumkan bahawa insiden tersebut telah mengakibatkan hidung Seo patah.
Jaringan awal kapten Kedah Darul Aman, Manuel Ott tak cukup untuk membantu Sang Kenari melakar kemenangan. Pasukan Perak berjaya bangkit pada babak kedua permainan sekaligus memastikan kemenangan milik pasukan tuan rumah.
Perak berjaya menundukkan Kedah Darul Aman dengan keputusan 3-1. Kedua-dua pasukan bakal beraksi dalam aksi timbal balik pada 18 Ogos kelak di Stadium Darul Aman.