Piala Malaysia: Perak Lakar Kejutan Benam Kedah Di Ipoh
Piala Malaysia
Perak FC
Advertisements

Hasrat Perak FC untuk mencatatkan kemenangan di laman sendiri pada aksi pertama Piala Malaysia menjadi kenyataan. Ini selepas mereka berjaya mengejutkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan di Stadium Negeri Perak sebentar tadi.

Perak memulakan aksi dengan agak goyah hingga menyebabkan Kedah berjaya menjaringkan gol ketika perlawanan baru berlangsung 35 saat. Gol Kedah itu terhasil melalui Manuel Ott yang menanduk sepakan sudut dari Fayadh Zulkifli.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Perak cuba menggandakan asakan dengan beberapa percubaan merbahaya ke gawang Kedah namun kecemerlangan Kalamullah Al-Hafiz di gawang Kedah merencatkan hasrat Perak untuk mencari gol penyamaan.

Advertisements

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Perak terus mempamerkan penguasaan bola. Kerja keras mereka akhirnya membuahkan hasil selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-46 selepas bola terkena tangan pemain Kedah, Bojan Ciger.

Kapten pasukan Perak, Luciano Guaycochea yang mengambil sepakan penalti tersebut tidak menghadapi masalah untuk menyempurnakannya sekali gus mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Advertisements

Jaringan tersebut nyata membakar semangat barisan pemain Perak. Mereka tidak perlu menunggu lama untuk menjaringkan gol kedua selepas pemain import dari Serbia, Luka Milunovic yang menyempurnakan hantaran Firdaus Saiyadi dari sayap kiri pada minit ke-56.

Dengan kedudukan berubah menjadi 2-1 memihak Perak, Kedah menerima tamparan hebat selepas pemain pertahanan mereka, Rodney Celvin dilayangkan kad merah pada minit ke-60 selepas dikesan menyepak muka pemain Perak, Seo Seonung.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Kedah tetap menggandakan asakan untuk menyamakan kedudukan. Mereka mula menguasai perlawanan ketika pasukan Perak menerapkan corak bertahan bagi mempertahankan kedudukan.

Advertisements

Ketika Kedah sedang rancak melakukan serangan, Perak mengambil kesempatan yang terhidang apabila berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-86 melalui Hakimi Isa sekali gus melebarkan kedudukan menjadi 3-1.

Kedudukan 3-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan. Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam aksi timbal balik pada 18 Ogos yang bakal dilangsungkan di Stadium Darul Aman. Pemenang akan layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram