Penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado bakal meninggalkan kelabnya, America de Cali secara pinjaman.
Portal Win Sports melaporkan keputusan itu dibuat oleh kelab berkenaan menjelang musim 2026. Ini ditambah dengan Holgado dilaporkan berada dalam radar beberapa buah kelab.
Meskipun begitu, hubungan penyerang berusia 30 tahun itu dengan America de Cali tetap baik. Malah, beliau dibenarkan berlatih bersama pasukan itu sementara menunggu tawaran yang sesuai.
Sekiranya perkara ini menjadi realiti, America de Cali bakal fokus mencari penyerang baharu sebagai pengganti Holgado.
Sebelum ini, kelab itu telah mendapatkan penyerang Manta FC, Daniel Valencia dengan yuran perpindahan €425,000 (RM2 juta).
Holgado dilaporkan telah menarik minat kelab bukan saja dari Argentina tetapi juga dari Chile. Kelibatnya menjalani latihan pada Isnin lalu turut menceriakan penyokong America de Cali.