Rodrigo Holgado Dapat Tawaran Kelab Gergasi Argentina?
MakanBola
America de Cali

Penyerang warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado berpotensi kembali beraksi di liga Argentina.

Sebelum ini, Holgado dilaporkan pernah menimbang kemungkinan bersara susulan penggantungan 12 bulan yang dikenakan FIFA ke atasnya dan enam lagi pemain warisan negara.

Walau bagaimanapun, CAS mengeluarkan perintah penangguhan sementara hukuman itu sementara ketujuh-tujuh pemain dan FAM mengemukakan rayuan.

Perintah tersebut membolehkan Holgado, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Imanol Machuca kembali beraksi.

Susulan itu, penyerang America de Cali berusia 30 tahun itu dikaitkan dengan beberapa kelab sekitar Amerika Selatan.

Wartawan sukan, Jamie Dinas melaporkan Holgado memilih tidak kembali bersama America de Cali dan terus berada di Argentina.

Ini ditambah dengan beliau tidak menerima gaji daripada kelab itu semasa menjalani penggantungan. Dinas turut melaporkan Holgado dan ejennya telah mendapat tawaran Independiente.

Holgado bukan asing dengan liga Argentina. Ini kerana beliau pernah beraksi untuk San Lorenzo II, Almagro dan Gimnasia La Plata.

Independiente bukan satu-satunya kelab yang berminat mendapatkan khidmat Holgado. Sebelum ini, kelab Chile, Coquimbo Unido juga dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.