Penyerang Malaysia, Rodrigo Holgado dilaporkan berada dalam radar kelab Liga Super, DPMM FC.
Perkara ini disahkan pengurusan kelab itu dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka. DPMM menyatakan minat untuk mendapatkan Holgado untuk menambah bisa di bahagian serangan.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam kemudiannya melaporkan DPMM berkira-kira ingin mendapatkan bekas penyerang America de Cali itu dalam tetingkap pertama perpindahan Liga Malaysia (Liga M) yang berakhir pada 3 September lalu.
“Holgado to Liga Malaysia, DPMM dilapor umum menyatakan minat ketika jendela pertama perpindahan pemain sudah berakhir, 3 September lalu,” katanya di X.
Jika DPMM mendapatkan Holgado sekalipun, mereka perlu menunggu beliau menghabiskan tempoh penggantungan yang diputuskan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Mac lalu.
Holgado dan enam lagi pemain Harimau Malaya dijangka hanya dibenarkan kembali beraksi pada November ini. Meskipun menjalani penggantungan, mereka dibenarkan menjalani aktiviti bola sepak termasuk latihan dan perlawanan persahabatan tidak rasmi.
Selepas meninggalkan America de Cali, Holgado memilih menyertai kelab Chile, Coquimbo Unido. Justeru, sebarang usaha mendapatkan beliau ditambah dengan baki tempoh penggantungan dijangka hanya akan dilakukan pada Januari 2027.