Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo hanya ketawa terbahak-bahak apabila salah seorang rakan MrBeast mendakwa Lionel Messi lebih baik daripada beliau.
Kata-kata itu diungkapkan dalam siaran video terbaru Ronaldo yang bertajuk ‘How Many Goalkeepers Does It Take to Stop Ronaldo?’
Video ini terhasil menerusi kolaborasi beliau dengan selebriti YouTube terkenal, MrBeast. Video tersebut menunjukkan Ronaldo mengambil penalti dengan empat penjaga gol diketuai MrBeast mengawal gawang.
Meskipun dikawal empat penjaga gol, legenda Manchester United itu membuktikan sentuhannya tetap berbisa. Ini mendorong seorang rakan MrBeast cuba mempengaruhi Ronaldo tentang Messi sebelum mengambil sepakan seterusnya.
“Nolan kata dia tak suka kamu, dia fikir kamu bukan pemain terbaik sepanjang zaman (GOAT),” kata MrBeast kepada Ronaldo.
“Nolan orang yang dekat hujung sana, dia fikir Messi lebih bagus! Dia gelar ini bola sepak dan dia kata Messi GOAT.”
Sebaik mendengar apa yang diperkatakan, Ronaldo kemudiannya membalas, “Siapa cakap Messi lebih baik daripada saya?” Legenda Portugal itu tidak kering gusi selepas itu sebelum menyempurnakan penalti berikutnya.
Kelab beliau, Al-Nassr kini berehat kerana ini tempoh cuti musim salji saingan Saudi Pro League (SPL). Ronaldo bakal beraksi apabila Al-Nassr menentang Al-Akhdoud pada 10 Januari 2025.