Rowley Terus Terbang Pulang Dari Jerman Selepas Dapat ‘Call Up’
Dunia
Sri Pahang FC Official
Advertisements

Pemain tengah Sri Pahang, David Rowley tidak dapat menyembunyikan rasa teruja setelah namanya disenaraikan Kim Pan-gon dalam ‘call-up’ terbaru skuad kebangsaan dan menganggap ia sebagai satu kebanggaan.

Kim Pan-gon baru-baru ini mengumumkan Rowley bersama-sama dua lagi rakan sepasukannya Sergio Aguero dan Lee Tuck antara 30 pemain yang dipanggil untuk kem latihan menjelang Piala AFF Mitsubishi Eletric pada bulan depan.

“Saya rasa sangat berbangga kerana diberi peluang untuk menyarung jersi negara saya. Saya bersama keluarga isteri saya di Jerman ketika mendapat panggilan dan saya memberitahu mereka saya perlu terbang pulang dengan segera ke tanah air.

Advertisements

“Ini adalah satu tanggungjawab besar dan saya tekad akan melakukan yang terbaik untuk memenangi tempat di dalam skuad. Saya tahu saya boleh membantu skuad kebangsaan, terutamanya menerusi kelebihan di udara yang banyak saya gunakan untuk menjaringkan gol bersama Pahang tahun ini,” ujar Rowley kepada sripahangfc.com.my.

Sebagai rekod, Rowley yang merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia antara tonggak utama Sri Pahang dan dia mengakhiri musim ini dengan tujuh jaringan.

Lee Tuck dan Sergio Aguero pula baru sahaja mendapat kerakyatan Malaysia pada bulan September lalu dan bakal menjadi pemain naturalisasi baru Harimau Malaya selepas Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi.

Advertisements

Kedua-dua mereka hanya bermain dua perlawanan musim ini, kedua-duanya menentang Terengganu dalam pusingan kedua Piala Malaysia, sekali sebagai pemain gantian dan sekali di dalam kesebelasan utama.

“Ini satu detik bersejarah dalam karier saya dan tidak mungkin terjadi jika bukan kerana Sri Pahang. Kini keinginan saya untuk menyarung jersi Malaysia semakin membuak. Saya tidak mahu mengecewakan kepercayaan yang diberikan, mahu memberikan 110 peratus kepada Harimau Malaya dan membuktikan jurulatih telah membuat pilihan yang tepat,” ujar Aguero.

Kem latihan skuad kebangsaan akan bermula pada 29 November dengan skuad negara akan berdepan Kemboja dan Maldives dalam aksi persahabatan bulan depan, sebelum Kim Pan-gon memuktamadkan senarai akhir 23 pemain yang akan membawa cabaran di Piala AFF.

Advertisements

Di Piala AFF nanti, Malaysia telah diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama Vietnam, Singapura, Myanmar dan Laos.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram