Seorang wartawan sukan terkenal menyifatkan projek Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai projek paling menakjubkan di Asia.
Pandangan itu dibuat wartawan sukan terkenal, Rudy Galetti selepas melihat JDT mengikat Chelsea 3-3 dalam aksi pramusim di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 9 Ogos lalu.
Lebih menarik pada hemat Galetti ialah nilai skuad yang dibimbing dua jurulatih Sepanyol, Xisco Munoz dan Xabi Alonso. Chelsea beroperasi dengan bajet £300 juta (RM1.6 bilion) dengan JDT (£11 juta (RM60.6 juta)).
“Chelsea seri 3-3 hari ini menentang pasukan Malaysia, Johor Darul Ta’zim, sebuah kelab yang hampir mencipta sejarah bola sepak dengan potensi rekod dunia 109 perlawanan tanpa kalah dalam liga.
“Di bawah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, JDT telah menjadi salah satu projek paling mengagumkan di Asia, dengan kemudahan dan piawaian bertaraf Liga Perdana Inggeris.
“Bajet Chelsea sekitar £300 juta, JDT beroperasi dengan £11 juta: luar biasa,” katanya di X. Selepas Galetti membuat ciapan itu, Tunku Ismail kemudiannya mengulang siar ciapan berkenaan di platform sama.
JDT mengikat Chelsea 3-3 di SSI. Arif Aiman Hanapi, Oscar Arribas dan Bergson da Silva masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.
Dua penalti yang disempurnakan Liam Delap dan gol sendiri Antonio Glauder memastikan Chelsea meninggalkan SSI dengan keputusan positif.