Laman sukan terkenal melaporkan pasukan Russia mahu menjadikan Malaysia sebagai salah satu lawan dalam aksi persahabatan bulan hadapan.
Skuad negara kini sedang sibuk menjalani persiapan bagi menghadapi kejohanan Pestabola Merdeka dengan Filipina bakal menjadi lawan pertama pada 4 September.
Manakala, Russia kini berada di Vietnam untuk mengikuti kejohanan jemputan yang melibatkan tiga buah negara termasuklah Thailand bermula 5 sehingga 10 September ini.
Sebelum ini, terdapat khabar angin satu aksi persahabatan melibatkan skuad Harimau Malaya dan juga Russia bakal berlangsung sekitar Oktober menurut laporan The Asean Football.
Walau bagaimanapun, perkhabaran ini telah dinafikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan pada Julai lalu.
Terkini, menurut laman Sport Express (SE) Russia, negara di ranking ke-33 dunia itu dijangka berdepan pasukan Malaysia dalam aksi persahabatan pada 9 atau 10 Oktober hadapan.
Difahamkan, tarikh tersebut dipilih memandangkan skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti bakal terbang ke Auckland untuk bertemu New Zealand pada 14 Oktober.
“Bagi bulan Oktober, dalam tempoh ini kemungkinan lawan bagi pasukan Rusia dari rantau Asia adalah Malaysia dan juga Turkmenistan,” lapor Sport Express.
“Pada masa sama, Malaysia perlu berada di Auckland pada 14 Oktober, di mana perlawanan dengan New Zealand akan berlangsung, justeru, ia boleh bertemu dengan Rusia pada 9 atau 10 Oktober.”
Setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai berita ini dikeluarkan oleh pihak FAM mahupun mana-mana pihak berkepentingan yang lain.