S. Subramaniam: Jadikan Arif Aiman Sebagai Inspirasi
MakanBola
FA Malaysia

Bekas pemain kebangsaan, S. Subramaniam menyeru supaya pemain tempatan menjadikan bintang Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi sebagai inspirasi untuk terus bersaing dalam kancah bola sepak negara.

Menurutnya, kemunculan ramai pemain import dan warisan ketika ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk anak tempatan menyerah sebelum mencuba.

“Sekarang persaingan lebih sengit berbanding zaman saya. Tapi itu bukan alasan untuk menyerah,” katanya sambil merujuk kepada kejayaan Arif Aiman yang kekal menyerlah di sebalik lambakan pemain luar.

Subramaniam turut menyifatkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sebagai simbol kejayaan pembangunan akar umbi yang konsisten dan berkualiti.

“Empat kali dinobatkan sebagai ‘MR MVP’, umur muda, dan konsisten setiap musim itu bukti sistem pembangunan akar umbi kita masih mampu lahirkan pemain berkualiti,” jelasnya.

Katanya lagi, pemain tempatan perlu berani mencabar diri dan tidak gentar untuk bersaing dengan pemain import dan warisan dalam merebut tempat.

“Pemain lokal kena buka fikiran dan gandakan usaha. Peluang mungkin kurang, tapi bukan tiada langsung,” tegasnya.

Beliau percaya jika semangat dan sikap Arif Aiman dijadikan panduan, pemain tempatan masih mampu menyerlah dan menyumbang besar kepada kejayaan kelab dan juga Harimau Malaya.