Sabah difahamkan mahu memburu penyerang berprofil tinggi menjelang pintu perpindahan kedua tidak lama lagi.
Setelah terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada penyerang berbisa, Ramon Machado bulan lalu, jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee berhasrat untuk mencari pengganti tidak lama lagi.
Menurut beliau, krisis di jentera serangan The Rhinos kini semakin meruncing dengan ketiadaan Ramon dan dua lagi pemain serangan, Darren Lok dan Saddil Ramdani yang dilanda kecederaan.
“Ya kita kehilangan Ramon, dan dalam masa yang sama Darren dan Saddil masih mengalami kecederaan dan sudah tentu ini akan menyukarkan barisan penyudah,” ujar beliau kepada Malaysian Football League (MFL).
Tambah bekas pengendali skuad kebangsaan ini, beliau berharap mampu mahu menandatangani pemain serangan yang berbisa untuk membantu pasukan mencetak gol bagi meraih kemenangan.
“Saya berharap pada musim perpindahan nanti, kita mampu melakukan sesuatu di mana kita inginkan penyerang yang boleh membantu kita,” kata Kim Swee.
Terdahulu, Sabah cemerlang meraih tiga mata di Likas setelah menewaskan Negeri Sembilan hasil jaringan Daniel Ting dan Jafri Firdaus Chew untuk kembali ke landasan kemenangan.
Aksi selepas ini menyaksikan Sabah bakal terbang ke ibu kota untuk menguji kekuatan KL City pada Rabu manakala Negeri Sembilan akan berdepan tentangan jaguh Pantai Timur, Terengganu pada Selasa.