Penyerang import Sabah, Ramon Machado meluahkan hasratnya untuk berjumpa dengan para penyokong buat kali terakhir di Stadium Likas pada aksi suku akhir kedua Piala FA pada Sabtu.
Pada Jumaat, berita mengejutkan diterima peminat Sabah apabila pihak kelab menerusi pengurusnya, Datuk Joh Wid telah mengeluarkan satu kenyataan berkenaan penamatan kontrak Machado atas persetujuan bersama.
“Ramon telah menemui saya dan mengemukakan sebab-sebab dia memohon untuk menamatkan kontrak. Setelah berbincang dan meneliti mendalam bersama pengurusan tertinggi kelab, maka kami telah bersetuju untuk menerima permohonan tersebut,” ujar Datuk Joh Wid.
“Ini bermakna, kontrak Ramon Machado yang sepatutnya berakhir pada 30 April 2025 akan tamat berkuat kuasa bermula 7 Julai 2024 atas dasar persetujuan bersama,” katanya lagi dalam kenyataan tersebut.
Perkara ini jelas membuatkan para peminat The Rhinos sedih dan bakal merindui kelibat peledak berbisa dari Brazil ini yang telah banyak membantu jentera serangan sejak kali pertama menyarung jersi Sabah.
Bagi mengubati hati para peminat, Machado berharap dapat bertemu mereka buat kali terakhir ketika perlawanan terakhirnya di Stadium Likas pada Sabtu memandangkan kontraknya bakal tamat pada Ahad.
“Saya nak jumpa anda semua esok di Stadium Likas jam 7:15 malam untuk perlawanan yang menarik! Jumpa anda semua di sana kawan-kawan,” tulis Machado di instastory beliau.
Perlawanan suku akhir kedua Piala FA bakal menyaksikan Sabah melayani kunjungan Terengganu di Stadium Likas pada Sabtu, 6 Julai dengan aksi akan menjadi aksi terakhir Machado bersama skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee.
Pada aksi pertama minggu lalu, Sabar terpaksa akur tewas 0-4 di tangan Terengganu hasil dua jaringan dari Ismaheel Akinade dan satu gol masing-masing daripada Manuel Ott dan Marin Pilj dalam perlawanan yang berlangsung di Gong Badak.