Dua pundit bola sepak iaitu Zaquan Adha dan Dato’ Zainal Abidin Hassan bersependapat berkenaan isu dalaman yang dikatakan membelenggu para pemain Sabah FC baru-baru ini.
Zaquan berkata masalah dalaman yang dihadapi oleh para pemain Sabah dikatakan sudah diselesaikan namun mungkin ianya agak sedikit lewat.
Beliau yang menjadi pundit untuk Astro Arena menjelaskan bahawa sudah bertanyakan kepada kenalan-kenalan beliau berkenaan isu tersebut.
“Kalau nak ikutkan masalah dalaman, saya juga ada bertanyakan kepada kawan-kawan, sahabat-sahabat, saya rasa dah selesai, katanya,” jelas Zaquan kepada Astro Arena.
Manakala Zainal Abidin yang merupakan bekas pemain kebangsaan turut bersetuju dengan apa yang disuarakan Zaquan.
“Ya, saya pun dengar begitu juga (masalah dalam sudah selesai). Tapi itu yang saya cakap, terlalu lambat atau terfikir-fikir nak ambil masa untuk menyesuaikan perlawanan (ketika Sabah tewas 0-4 kepada Terengganu),” luah Zainal Abidin.
Selepas tewas 0-4 kepada Terengganu, Sabah perlu bekerja dengan lebih keras pada suku akhir kedua menentang Terengganu di Stadium Likas yang dijadualkan pada 6 Julai ini.