Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya enggan terlalu selesa dengan kedudukan ketiga Liga Super ketika ini.
Sang Badak kini menghuni kedudukan ketiga liga dengan 26 mata, tiga mata di belakang pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC. Ini selepas pasukan itu merekodkan empat kemenangan besar berturut-turut.
Ini termasuk kemenangan 4-1 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Likas pada 3 November lalu. Joao Pedro, Farhan Roslan dan Gabriel Peres mencetak nama sebagai penjaring.
Meskipun berada pada kedudukan baik untuk mencabar kelompok dua pasukan teratas liga, Kim Swee mahu anak buahnya kekal fokus.
Ini kerana masih banyak lagi perlawanan yang perlu dilalui Sang Badak termasuk saingan Piala Malaysia yang bakal bermula. Justeru, Sabah perlu kekal konsisten jika ingin meneruskan kecemerlangan untuk musim 2024/25.
“Kita masih lagi mempunyai banyak perlawanan ya. Di sini, saya tidak ingin memikirkan kelayakan ke mana sekalipun.
“Yang penting, kita perlu kekalkan momentum. Dan konsistensi itu amat penting kerana selepas ini kita mempunyai perlawanan Piala Malaysia dan perlawanan liga.
“Jadi, kita memerlukan tenaga yang mencukupi terutamanya pada 11 pemain. Dan saya harap pemain-pemain yang cedera sempat pulih sepenuhnya,” katanya kepada Nadi Arena.
Selepas ini, Sang Badak bersiap sedia untuk mengharungi aksi Piala Malaysia yang membuka tirainya pada akhir November ini.
Sabah berharap dapat melepasi pusingan suku akhir selepas dikecewakan Perak FC di peringkat berkenaan dalam saingan Piala Malaysia 2023.