Salah satu kelab pencabar di Liga Super, Sabah FC dimaklumkan menanggung gaji pemain sebanyak RM1.7 juta sebulan.
Menurut Pengarah kelab, Md Joh Haji Wid dalam satu audio siar, bahawa Sabah FC telah menanggung gaji para pemain hampir 2 juta sebulan yang melibatkan pasukan utama dan juga skuad bawah 23 tahun.
”Okey, gaji sahaja untuk pasukan senior dan pasukan bawah 23 tahun di bawah kelolaan Sabah FC mempunyai tanggungan gaji sebulan (sebanyak) RM1.7 juta,” katanya kepada Kinabalu Podcast.
Tambahnya lagi, beliau terbuka untuk memberitahu perkara ini kepada para peminat The Rhinos agar semua pihak sedia maklum mengenai perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh pihak kelab.
”Kita perlu berterus terang supaya peminat tahu berapa tanggungan kita sebenarnya dan kenapa ini berlaku.”
Beliau turut meluahkan rasa hairan melihat angka sebegitu besar tatkala pasukan-pasukan lain yang berjaya membawa pulang piala sebelum ini tidak membelanjakan wang sebesar itu untuk membayar gaji pemain.
”Kenapa harga boleh begitu tinggi sedangkan pasukan-pasukan lain yang pernah membawa pulang piala tidak sampai ke situ (jumlah tanggungan)?” soal beliau yang menjawat jawatan Pengarah Sabah FC pada Jun tahun lalu
Sabah kini berada di tangga ketiga Liga Super dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam tiga perlawanan pertama termasuklah menewaskan Kuching City dalam aksi terakhir liga.
Selepas ini anak didik Datuk Ong Kim Swee bakal melayani kunjungan kelab Liga A1 Semi Pro, KL Rovers dalam aksi pertama Piala FA 2024/2025 di Stadium Likas pada 15 Jun ini.