Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan Terengganu FC bakal memberi ancaman kepada pasukan itu menjelang aksi suku akhir pertama Piala FA 2024.
Musim 2024/25 menyaksikan Terengganu diperkuatkan dengan kehadiran tiga tonggak tempatan iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Akram Mahinan.
Kehadiran trio ini memastikan skuad Penyu yang dibimbing Tomislav Steinbruckner kekal tanpa kalah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) setakat ini.
Selain kekal tanpa kalah dalam empat perlawanan Liga Super, Terengganu berjaya mara ke suku akhir selepas menewaskan Perak FC pada 14 Jun lalu.
Atas sebab itu, Kim Swee mahu anak buahnya berwaspada dengan cabaran Safawi, Akhyar dan Akram. Ini kerana trio ini berupaya menyekat Sabah daripada meraih bekalan selesa untuk aksi suku akhir kedua di Kota Kinabalu pada 6 Julai hadapan.
“Terengganu bertambah baik dengan beberapa pemain terutamanya pemain tempatan seperti Safawi Rasid, Akhyar (Rashid dan) termasuk Akram (Mahinan).
“Dan kita harus waspada dengan semua pemain yang diturunkan Terengganu kerana rata-ratanya sudah lama bersama pasukan,” katanya dalam temu bual pra-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Terengganu dijangka memberi saingan sengit kepada skuad Badak meskipun tempang tanpa lapan pemain yang terpaksa disisihkan akibat Covid-19.
Selain mereka, kelibat Steinbruckner juga tidak ada di bangku simpanan untuk aksi suku akhir pertama. Ini kerana jurulatih Croatia itu turut dijangkiti Covid-19 dan perlu menghabiskan baki tempoh kuarantinnya.
Justeru, peranan beliau akan dipangku oleh penolong jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali untuk aksi suku akhir pertama.