Pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani mengakui lebih bermotivasi apabila beraksi menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Sejak mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 2019 bersama Sri Pahang FC, pemain sayap berusia 25 tahun itu merasai pengalaman pertama menentang pasukan gergasi selatan tanah air itu.
Dan selepas kembali berkelana ke Malaysia dengan menyertai skuad Badak pada 2021, Saddil melihat JDT sebagai satu pasukan yang luar biasa.
Ini kerana pasukan itu dibarisi ramai pemain hebat termasuk pemain import yang berkualiti tinggi. Dan ini satu peluang keemasan buat Sabah dan beliau menguji kemampuan menentang JDT yang juga juara 10 kali Liga Super.
Atas sebab itu, Saddil sentiasa bekerja keras untuk cuba membantu skuad Badak melakar kemenangan ke atas Harimau Selatan.
“Kalau saya secara peribadi, semangat juangnya lebih begitu. Kerana saya melihat bila lagi ada pasukan yang sepadan dengan motivasi kita. Kerana mereka datang ke gelanggang kita, sudah pasti mereka mahukan kemenangan. Kita juga di sebelah sini mahukan kemenangan.
“Mentaliti dan persiapan kita juga harus sebaik mungkin. Ya, mungkin kita sudah kerja keras. Tetapi dengan (JDT) ini, kita harus kerja lebih keras lagi.
“Kita rasa bermotivasi dan senang (lebih-lebih lagi) dengan dukungan orang Sabah juga,” kata pemain sayap Indonesia itu semasa menjadi tetamu program audio siar Stef It Up Podcast.
Bisa Saddil tidak dapat ditagih pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee apabila melayan kunjungan JDT di Stadium Likas pada 13 Julai ini. Ini selepas pemain sayap itu terpaksa melupakan aksi berkenaan akibat masalah kecederaan.