Sabah bakal kehilangan khidmat dua tonggak utama menjelang aksi penting kempen Liga Super 2024 bertemu JDT.
Pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani dan penyerang sensasi kebangsaan Darren Lok tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan yang dialami. Perkara itu disahkan pengendali Sabah, Ong Kim Swee yang menyatakan bahawa kedua-dua pemain ini belum pulih sepenuhnya untuk diturunkan.
Ong Kim Swee bagaimanapun sudah mempunyai perancangan terbaik untuk menggantikan pemain lain bagi beraksi di posisi yang ditinggalkan tersebut.
“Ini perlawanan yang sangat berbeza, sudah tentu melibatkan kedudukan liga di mana kita tahu perlawanan sabtu ini sangat penting dan lebih-lebih lagi bermain dengan pasukan JDT.”
“Bukan satu perkara yang mudah, tetapi kita harus memberikan saingan hebat serta memastikan Sabah FC dapat beraksi dengan lebih baik terutama selepas tewas dua perlawanan dengan Terengganu baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ketua jurulatih skuad The Rhinos ini menyeru untuk para pemain menampilkan persembahan terbaik ketika menentang pendahulu Liga Super pada esok. Beliau mahu para pemain meletakkan sepenuh fokus di dalam padang dan melupakan siri kekalahan yang menimpa pasukan sebelum ini.
“Kita yakin isu-isu luar ini tidak akan mengganggu tumpuan dan fokus pemain, mereka perlu meningkatkan prestasi selepas gagal memperoleh kemenangan daripada dua perlawanan yang lepas.”
“Kita tidak bermain dengan begitu baik dan mereka harus melupakan kekalahan tersebut dengan menumpukan pada perlawanan esok agar mereka dapat bermain serta mengembalikan prestasi sebenar selepas tewas kepada Terengganu” ujar Kim Swee.
Kelebihan beraksi di laman sendiri di hadapan penyokong pastinya akan menjadi penyuntik semangat terbaik buat pasukan Sabah. Aksi Sabah dan JDT menjadi perlawanan tumpuan buat seluruh peminat bola sepak tempatan untuk aksi minggu kelima kempen Liga Super 2024/2025.
“Saya tahu ramai pihak yang kecewa, namun kita harus teruskan di mana ini penting untuk mendapatkan sokongan berterusan terutama daripada para penyokong yang sememangnya akan memberi impak yang sangat berlainan,” kata Kim Swee.
Sabah bakal melayan kunjungan JDT di Stadium Likas pada esok, 13 Julai 2024 jam 8.15 malam.