Bekas bintang Liverpool, Sadio Mane menyifatkan tindakan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) menganugerahkan Kejohanan Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 kepada Maghribi sebagai tidak boleh diterima.
Pandangan itu dibuat beliau selepas Jawatankuasa Rayuan CAF menerima rayuan Maghribi berhubung keputusan perlawanan final AFCON 2025 antara pasukan itu dan Senegal.
Jawatankuasa Rayuan CAF membuat keputusan itu dengan alasan pemain Senegal meninggalkan padang ketika perlawanan berlangsung.
Susulan itu, CAF menggesa Senegal memulangkan semula trofi AFCON dan wang kemenangan berjumlah AS$10 juta (RM39.3 juta).
Tuntutan itu tidak dilayan Senegal. Malah, negara Afrika Barat itu memaklumkan mereka akan merujuk perkara itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Mane menyifatkan apa yang berlaku sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima. Malah, ia langsung tidak melambangkan semangat bola sepak Afrika.
“Apa yang berlaku sudah keterlaluan. Ini bukanl bola sepak yang kita perjuangkan, bukan Afrika yang kita percayai.
“Terlalu banyak rasuah dalam permainan kita,dan ia membunuh semangat berjuta-juta peminat di seluruh benua. Pemain memberikan segala-galanya di atas padang tetapi keputusan di luar padang adalah penentu perlawanan dan trofi.
“Saya sangat kecewa bukan sahaja untuk Senegal, tetapi untuk bola sepak Afrika secara keseluruhan. Kita berhak mendapat yang lebih baik. Peminat berhak mendapat keadilan, ketelusan dan rasa hormat,” katanya di Instagram.
Mane bukan satu-satunya pemain yang menyuarakan rasa tidak puas hati atas apa yang berlaku. Rakan senegara, Habib Diarra dan Pathe Ciss turut menyuarakan bantahan atas perkara sama.