Advertisements
Sadio Mane Sedekahkan Bantuan Makanan Sempena Ramadan Di Senegal
Inspirasi
MakanBola
FC Bayern Munich

Walaupun dikenali sebagai bintang bola sepak, itu langsung tidak menghalang Sadio Mane untuk membantu golongan yang memerlukan terutama di negara kelahirannya, Senegal. Terbaru, beliau menyumbang ratusan kampit beras di tempat asalnya iaitu Bambali, Senegal.

Ratusan kampit beras ini diagihkan kepada setiap isi rumah golongan yang tidak berkemampuan di situ. Ini bagi membolehkan golongan ini dapat menikmati suasana bulan Ramadan dengan lebih selesa dan teratur.

Berdasarkan beberapa imej yang dikongsikan Olt Sports di Twitter, Mane bukan saja menyumbang. Malah, bintang Bayern Munich itu turut melantik seorang wakil bagi memastikan setiap isi rumah mendapat jumlah kampit beras yang sama.

Mane sememangnya dikenali kerana banyak memberi sumbangan kebajikan di Senegal. Ini termasuk membina  hospital awam, stesen minyak dan pejabat pos di kampung halamannya, Bambali. Malah, beliau juga turut membiayai sekolah-sekolah di situ termasuk memberi pakaian sukan percuma kepada golongan muda.

Disebabkan usaha murninya itu, bekas penyerang Liverpool itu turut menerima Anugerah Socrates pada Oktober tahun lepas. Ini sebagai mengiktiraf inisiatif sosial yang digerakkannya di Senegal.

Mane baru-baru ini pulih dari kecederaan dan berharap dapat membantu pasukan yang dibimbing Thomas Tuchel itu menewaskan Manchester City dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.