Kapten Harimau Malaya, Safawi Rasid menyatakan bahawa akan memberikan segalanya untuk memastikan Malaysia mara ke final Piala AFF Mtshubishi Electric 2022 ini.
Beliau mengingatkan kepada rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan terus semangat dan bekerja keras dalam saingan separuh akhir kali ini kerana pada tahun 2018, Malaysia menang kerana Thailand terlepas sempurnakan penalti.
Dalam pada itu, Safawi yakin dengan kemampuan rakan sepasukan dan jurulatih yang mempunyai perancangan rapi berdepan Thailand nanti.
“Pada 2018 kita menang pun sebab mereka (Thailand) terlepas sempurnakan penalti, jadi saya dan rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan akan terus kuat pada separuh akhir kali ini,” ujarnya.
“Bagi saya perlawanan menentang Thailand saya percaya dengan rakan sepasukan dan jurulatih yang ada taktikal, jadi kita akan ikut perancangan dan beri segalanya untuk layak ke final,” katanya kepada Bernama.
Pada tahun 2018, Malaysia pernah mengalahkan Thailand dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas seri tanpa jaringan di Bukit Jalil.
Skuad bimbingan Kim Pan Gon akan bertandang ke Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, Selasa depan.