Pemain terbaik perlawanan, Muhammad Safawi Bin Rasid menjelaskan bahawa fokus yang dipamerkan bukan sahaja bagi dirinya. Beliau akui rakan-rakan sepasukan juga telah banyak menyumbangkan kembali prestasinya di atas padang.
Safawi sambil itu menyatakan kesyukuran kepada ilahi dan gembira kerana telah memberi dirinya nadi untuk menjana kemampuan yang cukup cemerlang sekaligus mendapat kemenangan buat negara bagi dua perlawanan dalam saingan kumpulan b.
“Saya dapat [menjaringkan] hatrik ini pun kerana sokongan daripada rakan sepasukan dan jurulatih. Saya sangat gembira hari ini dan bagi saya sebelum ini saya tak pernah cakap yang saya bintang dan boleh semak temu bual saya sebelum ini. Rakan-rakan sepasukanlah buatkan saya kembali semula,” jelasnya.
Dalam pada itu, penyerang berbisa ini turut merendah diri dan menjelaskan bahawa beliau perlu lebih fokus dan konsisten untuk perlawanan seterusnya.
Safawi turut menyatakan bahawa dirinya tidak membayangkan akan peroleh hatrik dalam perlawanan itu dan beliau telah memberi ucapan syabas kepada semua yang terlibat untuk skuad negara.
“Tahniah kepada rakan sepasukan, jurulatih, kakitangan pasukan dan semua yang terlibat untuk [pasukan] Malaysia. Saya pun tak menjangkakan akan dapat hatrik.”
“Terima kasih kepada Allah. Syukur saya kembali menemui semula prestasi dan saya perlu terus tingkatkan permainan saya untuk aksi berikutnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu, menurut Atleadpass, Safawi berjaya mencatat 88% ketepatan hantaran sepanjang 81 minit beraksi. Beliau turut mencipta 3 jaringan gol daripada 4 percubaan tepat dalam perlawanan semalam.