Nama bekas kapten Terengganu, Safawi Rasid berada dalam senarai kesebelasan utama terbaik Shopee Cup 2024-2025.
Musim lalu, Safawi menjadi tonggak utama buat Terengganu setelah tiba ke gergasi Pantai Timur itu secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memperkuat jentera serangan.
Impak yang dibawa oleh Safawi ternyata memberi perubahan positif kepada pasukan Terengganu dalam saingan domestik dan juga kejohanan Asia Tenggara, Shopee Cup pada musim lalu.
Safawi telah merekodkan 18 gol serta melakukan 4 bantuan jaringan dalam 35 penampilan bersama Terengganu musim lalu termasuklah menjaringkan 5 gol di pentas Shopee Cup.
5 jaringan yang dicetak oleh penyerang berusia 28 tahun ini telah meletakkan nama Safawi di kedudukan ke-3 penjaring terbanyak Shopee Cup, satu gol di belakang Lucas Crispim dan Leo Artur.
Dengan itu, pihak ASEAN United telah menyenaraikan Safawi dalam kesebelasan utama terbaik pilihan Shopee Cup 2024-2025 bersama 10 lagi bintang yang menyerlah di kejohanan itu.
4 pemain dari skuad juara Shopee Cup, Buriram United turut terpilih iaitu Theerathon Bunmathon, Curtis Good, Chatchai Budprom dan juga Lucas Crispim yang mencetak 6 gol untuk Thunder Castle.
Naib juara, CAHN dari Vietnam turut diwakili 4 pemain dalam kesebelasan utama pilihan ini ditunjangi oleh Nguyen Quang Hai, Le Van Do, Leo Artur dan Tran Dinh Trong yang bermain di posisi pertahanan.
Kritsada Kaman dari BG Pathum United dan penyerang PSM Makassar, Nermin Haljeta melengkapkan senarai 11 tonggak di dalam kesebelasan utama pilihan ASEAN United di Shopee Cup lalu.
Shopee Cup edisi lalu menyaksikan Buriram United diangkat sebagai juara setelah menewaskan CAHN di final tatkala dua wakil Malaysia, Terengganu dan KL City menamatkan aksi di peringkat kumpulan.