Pemain pertahanan Selangor, Safuwan Baharudin akui pasukan KL City berjaya berikan tentangan sengit kepada juara Piala FA 2023, Johor Daruk Ta’zim (JDT) ketika aksi final tempoh hari.
Ketika ditanya mengenai persiapan pasukan Selangor yang bakal berdepan JDT kelak, Safuwan tidak meletakkan satu sasaran yang tinggi sebaliknya menagih semangat dan momentum kemenangan dalam pasukan The Red Giant.
Pemain berusia 31 tahun ini juga merasakan aksi JDT dan KL City tempoh hari sedikit sebanyak bakal menjadi rujukan buat pasukan. Beliau menyatakan bahawa pengalaman yang dimiliki akan dimanfaatkan sehabis baik di atas padang nanti.
“Lawan JDT, perlawanan yang paling sukar saya rasa. Aksi sebelum ini ketika saya bersama Negeri Sembilan, saya bermain di SSI jadi saya harap dengan pengalaman yang saya ada boleh membantu pasukan Selangor.”
“Kemenangan berdepan Sabah ini ia membantu dari segi moral dan fizikal pemain. Bertandang ke Johor nanti bukan perkara yang mudah. Kita tengok ketika KL City menentang Johor, saya rasa KL City berjaya pamerkan yang terbaik.”
“Kita semua tahu pasukan JDT, pasukan terbaik di Malaysia. Pengalaman beraksi di final dan perlawanan liga ini amat besar. Jadi untuk Selangor, kami kesana dan hanya perlu berikan yang terbaik,” ujar Safuwan ketika ditemu bual MakanBola.
Aksi Selangor menentang JDT kelak bakal menjadi perlawanan tumpuan dalam usaha kem Harimau Selatan mengekalkan rekod 100% kemenangan sementara Selangor semestinya akan cuba sedaya upaya mencuri satu mata sekurang-kurangnya di laman lawan.
Selangor dijadualkan berdepan JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu, 29 Julai 2023.