Bek tengah kebangsaan, Safwan Mazlan mahu menebus kesilapan yang dilakukannya dalam aksi Terengganu FC menentang KL City FC baru-baru ini.
Selepas membantu Peteh mendahului 1-0 menerusi rembatan jarak jauh pada separuh masa pertama, Safwan melakukan kesilapan ketika membuat tandukan.
Peluang itu pantas disambar kapten KL City FC, Paulo Josue untuk menyamakan kedudukan 1-1. Patrick Reichelt muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada separuh masa kedua.
Safwan, 22, mengakui beliau mengambil sikap tanggungjawab atas apa yang berlaku. Pada masa sama, beliau juga melihat ini peluang untuk dirinya menjadi pemain pertahanan yang lebih bagus.
“Saya akui saya yang harus dipertanggungjawab atas jaringan pertama pasukan Kuala Lumpur tempoh hari dan saya ambil pengajaran ini untuk pastikan saya terus menerus dapat memperbaiki mutu permainan saya untuk diri dan pasukan Terengganu FC,” katanya.
Safwan turut mendedahkan beliau tidak mahu terlalu memikirkan kesilapan tersebut. Ini kerana amat penting baginya untuk fokus kepada aksi seterusnya menentang Kuching City FC.
“Jadi saya harus sentiasa meletakkan mentaliti saya di tahap tertinggi kerana saya ingin memberikan yang terbaik untuk pasukan bagi setiap perlawanan,” ujarnya.
“Seterusnya kita akan bertemu Kuching City, sebuah pasukan yang sangat tajam di bahagian serangan, jadi pemikiran dan fokus saya harus memikirkan tentang pasukan ini dan apa yang perlu dilakukan bersama rakan sepasukan yang lain.”
Terengganu bakal berdepan Kuching City untuk aksi liga seterusnya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 21 Februari.