Saham bintang baharu Kelantan Darul Naim, Chadrack Muzungu telah mengatasi nilai pasaran dua tonggak utama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Bergson. dan Heberty Fernandes.
Pasukan Pantai Timur itu menjadi wakil tunggal Kelantan susulan tersingkirnya TRW Kelantan FC ke saingan Liga A1 Semi Pro musim baharu.
Beberapa muka baharu telah dibawa masuk oleh pasukan bimbingan Park Jae-hong untuk memantapkan pasukan terutamanya bagi memperbaiki kedudukan musim lalu.
Antara watak penting yang berjaya disambar oleh KDN adalah pada posisi serangan selepas hanya berjaya meledak 29 gol dalam 26 perlawanan musim lalu.
KDN membuat keputusan untuk membawa masuk penyerang kelahiran CD Congo, Chadrack Muzungu bagi musim baharu.
Pemain berusia 27 tahun itu memiliki reputasi hebat ketika beraksi di RS Berkane dalam saingan Botola Pro Inwi (Maghribi).
Berdasarkan data Transfermarkt, beliau memiliki nilai pasaran setinggi 500,000 Euro (RM2.5 Juta) dan berada pada kedudukan ke-8 dalam kalangan pemain di Liga Malaysia.
Nilai ini mengatasi beberapa tonggak penting JDT termasuklah dua watak penting iaitu Bergson dan Heberty yang masing-masing memiliki nilai pasaran 450,000 Euro (RM2.3 Juta) dan 350,000 Euro (RM1.8 Juta)
Muzungu telah merekodkan 22 gol dan 15 bantuan gol dalam 120 perlawanan yang diharungi.
Kelantan Darul Naim akan membuka tirai aksi menentang Sri Pahang pada 11 Mei jam 8:15 malam di Stadium Temerloh.