Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi mencatat lonjakan saham berbanding rakan seposisinya dari Vietnam.
Pemain berusia 30 tahun itu menjadi tulang belakang JDT untuk mengekalkan empat kejuaraan domestik buat kali ketiga berturut-turut.
Skuad Harimau Selatan cemerlang menutup kempen musim 25-26 menerusi kejayaan pada pentas Piala Malaysia selepas menewaskan Kuching City dengan keputusan 2-0.
Prestasi cemerlang pasukan dibantu dengan aksi konsisten Syihan Hazmi menyaksikan nilai pasaran bekas penjaga gol Negeri Sembilan itu naik mendadak.
Kemas kini laman Transfermarkt – pangkalan data bola sepak terbesar di dunia yang menghimpunkan maklumat mengenai lebih 1.4 juta pemain menyaksikan saham penjaga gol Malaysia ini melonjak ke 400,000 Euro (RM1.8 Juta).
Kedudukan ini menjadikan Syihan selaku penjaga gol Malaysia paling bernilai selain berjaya mengatasi beberapa nama besar pada posisi sama di Asia Tenggara.
Nilai Syihan kini jauh lebih baik berbanding penjaga gol naturalisasi Vietnam, Patrik Le Giang (RM696,000) dan juga Van Dang Lam (RM928,000).
Beliau dijangka akan terus kekal bersama JDT selain dua tugasan kebangsaan menanti iaitu FIFA Asean Cup 2026.