Dua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) pernah membimbing pemenang Piala Dunia dan bintang Barcelona, Ferran Torres.
Dua jurulatih yang dimaksudkan ialah Javier Jorda Ribera dan Gonzalo Sanz Zaballos. Maklumat tersebut dikongsikan pengurusan JDT menerusi platform Johor Southern Tigers.
Torres pernah dibimbing Ribera dan Zaballos ketika berada di akademi kelab LaLiga, Valencia. Bekas bintang Manchester City itu dibimbing mereka ketika beraksi untuk skuad Bawah 14 Tahun (B-14) dan B-16.
Ribera dan Zaballos kemudiannya membawa haluan ke Johor apabila Akademi JDT-Valencia ditubuhkan pada tahun 2017. Kedua-duanya terus kekal bersama JDT sehingga hari ini dengan memikul peranan berbeza.
Ribera yang juga bekas jurulatih Malaysia B-17 kini menggalas tugas sebagai Pengarah Akademi JDT. Zaballos pula bertugas sebagai Ketua Akademi untuk bahagian ‘Methodology & Scouting’.
Kedua-duanya juga pernah mengecapi gelaran juara Piala Presiden semasa membimbing skuad JDT III. Ribera melakukannya pada edisi 2022 dengan Zaballos pula membantu JDT III muncul juara untuk edisi 2023 dan 2024.
Selain sebagai pengarah akademi, Ribera juga memikul tugas sebagai jurulatih untuk pasukan B-9 DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor yang digelar Johor Cubs.
Torres muncul wira Sepanyol dengan meledakkan gol kemenangan dalam aksi final Piala Dunia menentang Argentina. Beliau juga turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.