Sani Express Bakal Tawan Perkhidmatan Feri Ke Langkawi

SANI 1 Sani Sani Express Bakal Tawan Perkhidmatan Feri Ke Langkawi
Sani Express
Azim Noor @mohdazim45
7:00pm 29/03/2023

Selepas berjaya memeterai penajaan dengan pasukan Kelantan, Sani Express terus mengorak langkah dengan menawarkan perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi. Kehadiran operator bas ekspres terbesar di Malaysia itu dijangka bakal memecah monopoli perkhidmatan feri ke pulau berkenaan.

Ini kerana Sani Express menerusi Sani Ferry Sdn. Bhd bersedia menawarkan perkhidmatan feri alternatif ke Pulau Langkawi terutama menjelang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 dibuka mulai 23 Mei ini.

Hal ini disahkan menerusi satu hantaran Jabatan Laut Malaysia yang dikongsikan Sani Express di Facebook. Sani Ferry Sdn. Bhd. kini sedang memastikan dua ferinya iaitu SANI 1 dan SANI 2 siap dan boleh digunakan menjelang LIMA 2023.

Sebelum ini, sudah ada suara-suara yang meminta monopoli perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi dipecahkan. Ini kerana sejak monopoli ini terjadi, perkhidmatan feri yang ditawarkan tidak cekap dan mencetuskan rungutan dalam kalangan orang ramai.

Sani Ferry Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 2016 menawarkan feri rekaan moden. Setiap feri mampu memuatkan kapasiti 250 penumpang dalam satu masa.

Langkah berkenaan dijangka mengurangkan kesesakan dan masa penumpang menunggu di Jeti Kuala Perlis, Perlis. Jeti tersebut sentiasa sesak setiap kali LIMA berlangsung.