Advertisements
“Sasaran Kita Kedudukan 100 Teratas FIFA” – Kim Pan-gon
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon berharap dapat merealisasikan sasaran berada dalam kedudukan 100 teratas FIFA.

Ketika ini, skuad negara menduduki ranking ke-134 dunia selepas meraih dua keputusan seri masing-masing menentang Syria dan China pada bulan lepas.

Ini meletakkan Harimau Malaya pada kedudukan terbaik untuk menduduki kedudukan 120 teratas FIFA buat kali pertama sejak 2006.

Begitupun, Pan-gon merasakan kedudukan 100 teratas FIFA tidak mustahil boleh dicapai. Syaratnya, semua pemain dalam pasukan kebangsaan memberikan yang terbaik dan bersaing merebut kesebelasan utama.

Hanya dengan cara itu saja, Harimau Malaya mampu memberi persembahan terbaik terutama menjelang Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung dalam beberapa hari saja lagi.

“Sasaran kita yang pertama ialah kedudukan 120 teratas (FIFA). Kemudian yang seterusnya, ranking 100 terbaik dunia, itulah sasaran kita.

“Jadi, kalau kita nak capai sasaran ini tanpa usaha yang besar, amat sukar. Jadi, setiap kali kita berada di sini (kem Harimau Malaya), kita mesti berjuang untuk mendapatkannya.

“Jadi, (pemain) harus (bersikap) profesional dan menunjukkan keazaman serta bersaing sesama mereka. Ramai pemain fikir mereka sudah berada dalam skuad (kebangsaan) tapi saya tak fikir begitu.

“Jadi, kita sentiasa menilai pemain termasuk selepas sesi latihan dan perlawanan. Kita berharap mereka dapat bersaing sesama mereka agar dapat sampai ke pusingan akhir Piala Asia.

“Jadi, saya berharap mereka tidak selesa semasa berada di sini. Persekitaran di sini amat penting,” katanya kepada media selepas sesi latihan Harimau Malaya semalam.

Malaysia bakal memulakan kempen Pestabola Merdeka menentang pasukan yang menduduki ranking ke-102 dunia, India pada 13 Oktober ini.