Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi memberi petanda bakal kembali beraksi tidak lama lagi.
Tonggak berusia 24 tahun itu disisihkan sejak November tahun lalu ekoran kecederaan bersama pasukan kebangsaan.
Beliau bagaimanapun dibawa oleh skuad Harimau Selatan ke Jeddah bagi aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang juara bertahan, Al-Ahli.
Kelibat Arif tidak dapat disaksikan di Stadium Alinma, Jeddah selepas masih tidak bersedia sepenuhnya untuk diturunkan beraksi di atas padang.
Pemenang hatrik Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia ini memberi bayangan awal bahawa beliau semakin hampir untuk mencapai tahap kecergasan terbaik, sekali gus bakal beraksi tidak lama lagi.
“Semakin hampir,” ujar Arif Aiman di laman Thread.
Sebagai rekod, kali terakhir Arif beraksi pada pentas ACLE menentang Shanghai Shenhua pada 5 November 2025.
Arif secara keseluruhannya mencatatkan penglibatan 21 jaringan JDT dalam semua kejohanan musim 2025-26.